KENCING MANIS

Diagnosis: Diabetes berkait gaya hidup

Ancaman kesihatan, punca utama kematian di Asia.
LETUSAN epidemik obesiti di Asia memperlihatkan diabetes muncul sebagai ancaman kesihatan utama. Persoalan yang dibincangkan sekarang punca utama penyakit itu bukan disebabkan mutasi genetik atau faktor lahir dalam keluarga pesakit diabetes, sebaliknya kerana gaya hidup pesakit.

Kroniknya diabetes menyaksikan kini ada lebih 80 juta pesakit diabetes di seluruh dunia. Hampir 50 peratus pesakit adalah dari Asia. Empat daripada lima negara utama diabetes di Asia ialah India seramai 42.3 juta pesakit, China (20.8 juta), Indonesia (8.4 juta) dan Jepun (6.8 juta). Diabetes juga menjadi punca utama kematian disebabkan strok di Asia Pasifik.

Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1986, ada 6.3 peratus pesakit diabetes di Malaysia. Dalam kajian Jabatan Kesihatan pada 1995 pula jumlah itu meningkat kepada 7.7 peratus. Tahun berikutnya, jumlah pesakit terus meningkat kepada 8.2 peratus. Menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1996, hampir 10 tahun selepas kajian pertama, jumlah pesakit diabetes meningkat kepada 11.5 peratus.

Sehingga kini diabetes tidak berupaya disembuhkan sepenuhnya tetapi dengan pengurusan baik, kadar gula dalam darah boleh dikawal sekali gus komplikasi diabetes boleh dilewatkan. Tanpa pengurusan yang baik, diabetes akan menjadi pencetus kepada pelbagai komplikasi yang membawa maut. Justeru, bukan aneh apabila faktor majoriti kes kematian membabitkan pesakit diabetes adalah komplikasi makrovaskular.
Komplikasi makrovaskular adalah kelaziman di kalangan pesakit diabetes. Ia didefinisikan sebagai kerosakan pada salur darah besar yang membawa kepada serangan strok, jantung dan peripheral vascular disease (PVD).

Pakar Perunding Diabetes Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Rokiah Pendek, berkata walaupun diabetes dikenali juga sebagai masalah kecacatan baka, faktor gaya hidup kini menjadi punca utama penyakit itu. “Lahir dalam keluarga diabetes, kebarangkalian mendapat diabetes tinggi. Justeru, mulakan amalan hidup sihat daripada awal,” katanya.

Dr Rokiah berkata, diabetes jenis 2 dikaitkan dengan komplikasi serius dan ia berlaku dalam masa yang panjang disebabkan tahap gula dalam darah. “Rawatan terbaik adalah menurunkan tahap gula sebelum banyak kerosakan berlaku. Jika glukos masih berada dalam angka bahaya, komplikasi akan berlaku,” katanya.

Bagi kebanyakan pesakit, diabetes selalunya didiagnos lewat kerana simptom berkenaan kurang diambil berat. Bagi sesetengah orang mungkin simptom sukar dikesan. Bagaimanapun, apabila seseorang itu disahkan diabetes, 50 peratus komplikasi sudah ada padanya. Malah, pesakit itu sebenarnya berhadapan dengan diabetes sejak 10 tahun lalu.

“Bagi lelaki, masalah diabetes bukan masalah benar mereka berjumpa doktor, sebaliknya mereka berbuat demikian kerana masalah dalam hubungan kelamin,” katanya. Perlu diketahui, masalah kurang nafsu dalam hubungan seks adalah satu daripada simptom diabetes.

Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr Khoo Kah Lin, berkata diabetes secara umumnya tidak membunuh pesakit, sebaliknya hampir 70 peratus pesakit diabetes mati kerana komplikasi kardiovaskular. Bagi pesakit diabetes, komplikasi makrovaskular adalah empat kali lebih daripada komplikasi mikrovaskular (kerosakan salur darah kecil). Semua komplikasi boleh berlaku secara sendiri atau ‘berkawan-kawan’. Misalnya, pesakit bukan saja mengalami masalah jantung tetapi juga buah pinggang.

“Lebih lama dia menghidap diabetes, lebih banyak komplikasi kalau ia tidak dikawal. Mungkin pada peringkat awal mereka mengalami tekanan darah tinggi dan strok, kemudian hadapi masalah kegagalan buah pinggang,” katanya. Biasanya dalam satu masa, hampir 20 peratus pesakit diabetes mengalami komplikasi membabitkan saraf mata (retinopathy), 9 peratus komplikasi saraf (neuropathy), 8 peratus buah pinggang (nephropathy) dan 50 peratus berhadapan dengan komplikasi jantung.

“Diabetes jenis dua adalah penolakan insulin yang berkait dengan masalah kardiovaskular termasuk hyperglycemia (gula tinggi) dan hyperinsulinemia (tinggi insulin). Oleh itu, pesakit perlu bijak menguruskan diabetes,” katanya. Pengurusan diabetes yang bijak bermaksud pesakit mesti mencapai sasaran HbA1c yang ditetapkan. HbA1C adalah ujian mengukur jumlah hemoglobin glycosylated (molekul dalam sel darah merah yang melekat dengan glukos).

Kadar normal HbA1c bagi mereka yang sihat adalah antara empat hingga 5.9 peratus. Bagaimanapun, pesakit diabetes memiliki HbA1c yang lebih tinggi. Justeru, mencapai sasaran HbA1c adalah satu cara rawatan. “Malangnya di Asia, kebanyakan pesakit tidak mencapai sasaran HbA1c. Oleh itu, bagi HbA1c yang tidak dikawal mendedahkan risiko serangan jantung, strok, buta dan kegagalan buah pinggang yang memerlukan dialisis,” katanya.

Selain itu, Dr Khoo berkata, komplikasi mikrovaskular pula boleh menyebabkan buta, kegagalan buah pinggang, pemotongan kaki (amputation), retinopati, nephropati dan neuropati. “Retinopati menjejaskan saluran darah kecil dalam retina. Perubahan ini mungkin tidak disedari pesakit awalnya, tetapi ia menjejaskan 74 peratus pesakit diabetes yang sudah didiagnos selama 10 tahun atau lebih,” katanya.
Dr Khoor berkata, pesakit diabetes memerlukan pemotongan bahagian kaki bawah 25 kali lebih daripada orang lain disebabkan saraf yang tidak berfungsi dengan baik.

INFO: Diabetes jenis 2
1. Boleh memendekkan 10 tahun lebih awal usia pesakit
2. Punca utama penyebab strok di Asia
3. Setiap 10 saat, seorang mati kerana komplikasi diabetes
4. Setiap 30 saat, seorang kehilangan kaki kerana komplikasi diabetes
5. 151 juta pesakit pada 2000
6. 220 juta pada 2010
7. 300 juta pada 2025
8. 366 juta pada 2030
Diabetes jenis dua adalah risiko utama masalah kardiovascular (CVD). CVD boleh berlaku dalam empat lokasi  sistem peredaran darah;
a) Jantung (masalah jantung koronari) yang membawa kepada angina (sakit dada) serangan jantung atau kematian mengejut (sudden death)
b) Otak – (masalah cerebrovascular) yang menyebabkan strok atau disebut juga mini strok (transiet ischaemic strok) bekalan darah pada bahagian tertentu di otak terganggu seketika.
c) Kaki (bahagian bawah atau tapak kaki) yang menyebabkan gangrene (tisu mati yang memerlukan ia dipotong.
Bagi kes pesakit kencing manis kanak-kanak, kebanyakannya kencing manis jenis 1, tetapi dalam satu kajian di PPUM pada 1999, ada kes kanak-kanak alami diabetes jenis 2.

Mengenali Gangren Kesan daripada Kencing Manis

Penyakit gangren mungkin satu nama asing bagi sesetengah orang. Anggota badan yang diserang gangren memang agak mengerikan. Apatah lagi jika sudah mencapai tahap kronik. Pada peringkat awal serangan, bahagian anggota yang dijangkiti akan menjadi pucat dan sejuk. Lama-kelamaan tempat tersebut beransur-ansur berubah warna. Bermula dari kepucatan, bahagian itu akan beralih kepada kelabu berbalam dan diikuti bintik-bintik ungu. Akhirnya kulit menjadi coklat gelap atau kehitaman. Di samping itu, mangsa gangren turut menderita kesakitan yang amat sangat.


Penyakit Gangren
Kematian tisu akibat bakteria reput merupakan punca serangan gangren. Ini berlaku apabila darah tidak dapat mengalir ke sesuatu tempat dalam badan. Biasanya penyakit ini cenderung menyerang anggota kaki dan tangan seperti jari. Gangren turut memberikan kesan kepada struktur dalaman atau pun tisu-tisu lain yang mengalami gangguan bekalan darah. Selain itu, tisu-tisu di sekitar bahagian jangkitan turut menerima kesan.

Tisu mati punca Gangren
Terdapat pelbagai jenis gangren yang biasanya menyerang golongan dewasa. Antaranya ialah gangren kering yang berlaku akibat kematian tisu. Tisu-tisu ini mula mengering ekoran bekalan darah kian berkurangan dan akhirnya langsung tiada. Pada masa yang sama, wujud sempadan antara tisu mati dengan tisu hidup. Kekeringan juga menyebabkan berlakunya pembahagian antara tempat yang dijangkiti dengan bahagian yang bebas gangren.

Kemusnahan tisu akibat serangan bakteria membawa kepada gangren lembab. Ini berlaku apabila darah yang mengalir di pembuluh darah seperti arteri terhalang menyebabkan bahagian tersebut pucat dan membengkak. Keadaan ini juga menghasilkan nanah yang kemudiannya boleh merebak ke tisu lain. Selain jenis kering dan lembap, terdapat juga gangren gas. Gangren ini terjadi disebabkan kematian tisu ekoran infeksi pembentukan gas bakteria. Halangan pada arteri secara tidak langsung mampu meningkatkan risiko gangren. Biasanya ia berlaku berpunca daripada darah beku dalam pembuluh darah ataupun jantung.

Saraf darah boleh tersekat akibat ketulan darah mahu pun kelempung udara. Selain itu, infeksi pada bisul turut membawa kepada gangren. Kebanyakan kes gangren melibatkan orang dewasa penghidap kencing manis ataupun ateriosclerosis ekoran kekurangan darah yang mengalir ke sesuatu bahan. Lazimnya individu yang berhadapan dengan masalah pembuluh darah berisiko untuk diserang gangren. Mereka yang kuat merokok ataupun gemar mengambil alkohol secara berlebihan perlu mengawal tabiat ini memandangkan ia boleh mengganggu sistem perjalanan darah.

Kecederaan ataupun kedinginan melampau perlu dielakkan. 
Gangren juga boleh berlaku disebabkan trauma kerana kemalangan, tekanan luka atau pun serangan penyakit serta akibat balutan yang sangat kuat. Kecederaan pada saluran darah turut mengundang penyakit ini. begitu juga dengan melecur, kesejukan dan terbakar berpunca daripada bahan kimia atau pun elektrik.

Rawatan segera penting bagi Gangren
Mangsa penyakit ini perlu segera mendapatkan rawatan agar bahagian yang terkena gangren seperti tangan ataupun kaki dapat diselamatkan. Umumnya rawatan yang dilakukan terhadap pesakit adalah melibatkan pengawalan kegagalan jantung dan juga anaemia. Pemakanan yang baik dan seimbang perlu diamalkan oleh pesakit gangren khususnya bagi mereka yang turut berhadapan dengan masalah diabetes. Kesakitan yang dirasai padawaktu malam boleh diredakan dengan pengambilan ubat penahan sakit.

Bahagian anggota yang diserang gangren perlu sentiasa berada dalam keadaan kering. Selain itu, ia jug aperlu didedahkan kepada udara. Penggunaan kipas boleh membantu mengeringkan bahagian tersebut. Tekanan setempat padasatu-satu bahagian pesakit perlu diawasi dan dilindungi khususnya bagi mereka yang terlantar di atas katil.

Selain itu, pembersihan kulit boleh dilakukan menerusi pembedahan kecil. Antaranya seperti pemindahan kerak kulit mati dan nanah. Keadaan ini boleh mengelakkan serangan gangren daripada terus merebak. Bagi gangren kering, penyakit ini biasanya bertindak balas pada rawatan konservetif seperti penggunaan dadah bagi meningkatkan edarah darah.

Bahagian anggota yang teruk dijangkiti gangren perlu dipotong. Namun, keadaan ini bergantung pada bekalan darah di bahagian tersebut. Dalam kebanyakan kes gangren kronik, pembedahan yang berlangsung perlu mengambil kira beberapa faktor. Antaranya ialah berapa banyak bahagian anggota yang dijangkiti yang boleh diselamatkan. Ini biasanya berdasarkan kepada bekalan darah di saluran darah ataupun bahagian bawah sistem saraf automatik (ANS) yang bertindak mengawal kelancaran darah. Keputusan berkaitan pemotongan perlu dilakukan secara berhati-hati. Namun, bagi menyelamatkan nyawa pesakit, bahagian gangren yang merebak dengan cepat perlu dipotong.